Your Partner in Ageing

News

Rumah penjagaan Orang Valley ke-6 di Balestier

Uploaded On: 18 Jan 2018

SYARIKAT Orange Valley Nursing Homes (OV) membuka rumah penjagaan keenam di Balestier.

Terletak di 363 Balestier Road, pusat penjagaan lima tingkat yang dibuka sejak 2 Januari lalu dan diberi nama Pusat Penjagaan Orange Valley (OVCC) itu akan menjadi pusat pertama menawarkan khidmat pemulihan bagi pesakit luar.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Orange Valley Nursing, Cik Lyn Edel Yip, kemudahan baru tersebut telah membolehkan pihaknya melakar secara strategik perancangan perubatan dan prasarana untuk memenuhi permintaan pasaran lebih besar.

“Ini membolehkan kami menyediakan khidmat pemulihan buat pesakit luar yang disasarkan bukan sahaja bagi mereka yang sakit tua dan uzur, malah mereka yang menghadapi keadaan menghambat keupayaan fungsi seperti angin ahmar, retak tulang dan kudung,” ujarnya.

OVCC menawarkan 118 katil, dengan dua katil bagi tujuan kuarantin dan pengasingan.

Dengan adanya OVCC di Balestier, bilangan katil di semua enam rumah rawatan OV mencecah lebih 1,000 katil, justeru menjadikannya penyedia rumah penjagaan swasta terbesar di Singapura.

Hal tersebut, tambah Cik Yip, diharap mampu menyingkatkan masa menunggu dan memenuhi permintaan bagi katil.

Di samping wad terbuka, terdapat dua kamar mewah yang terdiri daripada bilik rawat inap dengan ruang khusus buat keluarga dan kawasan rehat; bilik persendirian, dengan dua katil; selain bilik dengan empat katil.

Apa yang menarik ialah kategori bilik tersebut dinamakan mengikut nama kawasan di Singapura. Misalnya, Queenstown, Redhill, Bugis, Orchard dan Sentosa.

Berbanding rumah penjagaan OV lain, OVCC menyediakan khidmat pemulihan bagi pesakitnya dan pesakit luar.

Orange Valley, milik Singapore Press Holdings Ltd (SPH), mempunyai lima rumah penjagaan lain di Changi, Clementi, Marsiling, Simei dan Sims Avenue.

Menurut Cik Yip, buat masa ini, Orange Valley sedang meneroka pertumbuhan dalam bidang khidmat penjagaan kediaman dan kebajikan pesakit psikiatri, namun khusus bagi mereka yang dalam keadaan stabil dan tidak mencederakan orang lain.